KUALA SELANGOR – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila sebuah papan tanda menghempap keretanya akibat angin kencang di kawasan letak kenderaan rangkaian sebuah pasar raya di Bandar Puncak Alam, hari ini.
Mangsa berusia 45 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan namun dilaporkan trauma.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kejadian tersebut menyebabkan enam buah kenderaan keseluruhan termasuk untuk pameran rosak akibat dihempap papan tanda tersebut.
Ini melibatkan masing-masing sebuah kereta jenis Toyota Vios, BMW, Perodua Myvi, Jeacoo dan dua buah Proton Saga.
Ujarnya, lima anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 3.44 pagi.
“Seorang wanita yang merupakan pemandu Toyota Vios tersebut tidak tersepit dan dikeluarkan orang awam.
“Dia kemudiannya telah dihantar ke klinik berhampiran sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE