fbpx

BRICS: Beri peluang Malaysia tingkat perdagangan, hubungan dua hala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Pemilihan Malaysia sebagai antara negara rakan dalam BRICS dilihat membuka peluang kepada negara meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala dalam kalangan negara dalam blok itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, negara menyambut baik penerimaan BRICS terhadap Malaysia sebagai antara negara rakan rasmi blok itu.

“Kita tidak bincang secara khusus (dalam mesyuarat Kabinet).

“Ini adalah pemakluman awal dan belum lagi dibincangkan secara mendalam. Tapi, semestinya kita mengalu-alukan penerimaan Malaysia sebagai sebahagian daripada negara rakan dalam konteks BRICS,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Sebelum ini, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS iaitu sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Menurut kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Sebagai rekod, pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI