PETALING JAYA – Sebuah video dirakam pengusaha kantin yang memaparkan suasana kantin lengang dan banyak makanan tidak terjual mendapat perhatian netizen.
Menerusi video berdurasi 14 saat itu, kelihatan masih banyak hidangan belum terjual selain keadaan kantin yang sunyi tanpa kehadiran murid-murid.
“Adik-adik, janganlah palau kantin, kesiankan kami siapkan makanan,” tulis kapsyen pada video tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mempersoalkan kesahihan video berkenaan yang dikhuatiri sekadar untuk ‘content’ semata-mata.
Bagaimanapun, ada juga pengusaha kantin yang berkongsi pengalaman sama apabila murid-murid kini tidak lagi makan di kantin sekolah kerana membawa bekal dari rumah.
“Memang ada kantin sekolah yang sunyi begini, kebanyakan pelajar suka beli makanan di koperasi ataupun bawa bekal dari rumah,” kata Asmida.
“Di tempat saya pun sama, susah nak habis makanan sekarang. Kalau ada pun mereka tak beli nasi sangat,” kongsi Tiniey.
Selain itu, ada juga pengguna berpendapat pengusaha kantin perlu menjaga kualiti makanan selain bersikap jujur ketika menjual makanan kepada murid sekolah.
“Biasa kantin kalau makanan kotor, tak sedap dan mahal akan dipulaukan oleh murid. Awak termasuk sekali ke?,” soal Mariam.
“Elok kena begini sesekali, biar berakal. Anak saya beberapa kali tak dapat duit baki, bila anak minta dia kena marah. Sejak daripada itu anak dah tak mahu beli makanan di kantin,” kata Ulfah. – KOSMO! ONLINE