PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung salah laku berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“(Saya) terima baik….terima baik (permohonan maaf bekas Perdana Menteri),” katanya ringkas kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman Presint 16, Putrajaya hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.
Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib petang semalam, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu datang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Terdahulu, Anwar menyertai solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah, seterusnya meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama mereka sebelum beredar meninggalkan masjid.
Sebelum itu, Anwar turut berkesempatan menikmati sajian makan tengah hari di D’Laila Kitchen, Medan Selera Presint 16. – KOSMO! ONLINE