fbpx

Pusat rawatan Tabib Adam seru makhluk halus diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA keping gambar dimuat naik MPAG dalam hantaran menerusi Facebook, semalam.

ALOR GAJAH – Pusat perubatan Tabib Adam yang terkenal sebagai pakar membuang saka diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan dibantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Masjid Tanah, di sini, semalam.

Tindakan penguatkuasaan itu dikongsikan MPAG melalui hantaran di laman Facebook rasmi agensi bersama beberapa keping foto menunjukkan pemeriksaan dilakukan di premis tersebut.

Antara diperiksa adalah dokumen dan pakaian yang mempunyai gambar pengasasnya Adam Isa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi pemberita hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan serbuan tersebut.

“Belum ada keperluan untuk respons buat masa ini, siasatan masih dijalankan, terima kasih,” ujarnya ringkas.

Kosmo! pada 14 Oktober lalu melaporkan pengamal perubatan dikenali sebagai Tabib Adam yang dipercayai menerima kira-kira 50 pesakit setiap hari di pusat perubatannya di Masjid Tanah bagi melakukan pelbagai rawatan termasuk membuang saka diwartakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu telah ditetapkan pada 12 September lalu selepas hasil kajian dan laporan dibentangkan dalam muzakarah mendapati rawatan yang dilakukan di pusat tersebut mempunyai elemen keraguan termasuk menyeru makhluk halus.

Ujarnya, susulan itu pihaknya telah meminta pihak JAIM untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan fatwa yang telah diwartakan itu.

BEBERAPA keping gambar dimuat naik MPAG dalam hantaran menerusi Facebook, semalam.

“Kita telah membuat sesi wawancara dengan mereka secara bersemuka dan laporan-laporan itu kita lihat ada keraguan dalam perubatan tersebut seperti menyeru atau memanggil makhluk-makhluk lain (halus).

“Perubatan diamalkan juga mempunyai elemen pengeras, amalan wirid dan perkara yang kadang-kadang tidak masuk akal termasuk dari segi bacaan-bacaannya. Kita khuatir ada elemen mistik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI