fbpx

Mahu untung 300 peratus, pesara rugi RM478,050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUANTAN – Kerana inginkan keuntungan sehingga 300 peratus seorang pesara kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM478,050 selepas terperdaya dangan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 16 Julai lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 69 tahun berminat dengan tawaran pelaburan melalui aplikasi Facebook bernama MMCT Pro.

“Mangsa kemudiannya diberikan pautan untuk muat turun sistem pelaburan bernama MMCT Pro berkenaan.

“Kemudian suspek telah memberikan latihan kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan meyakinkan boleh mendapat keuntungan 300 peratus daripada jumlah saham yang dilabur,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh 10 September hingga 22 Oktober lalu mangsa telah membuat pemindahan wang melalui mesin deposit tunai (CDM) berjumlah RM 478,050 dengan 33 kali transaksi ke empat akaun bank diberikan suspek.

Bagaimanapun katanya, mangsa mula curiga apabila wang yang dilabur tidak dapat dikeluarkan dan kemudiannya membuat laporan polis.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI