KLANG – Seramai lima Geng Casa termasuk ketuanya yang tular merompak sebuah banglo di Pandamaran awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mereka terdiri P. S. Tamil Kumaran, 38, yang merupakan dalang geng itu yang juga orang kelainan upaya (OKU) buta mata kanan; M. Linggeshwaran, 23; S. Nagen, 28 dan G. Siva serta R. Thamilrasan yang masing-masing berusia 33 tahun.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun berupa pelbagai patung berhala bernilai RM74,500.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Jagong, Pandamaran kira-kira pukul 6.16 pagi pada 3 Oktober lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes tidak boleh dijamin dan mendapat perhatian awam selain merompak merupakan satu kesalahan serius.
“Bagaimanapun sekiranya Mahkamah ingin menggunakan budi bicara, saya mencadangkan jaminan RM50, 000 setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan serta tidak menganggu saksi pendakwaan,” jelasnya.
Peguam S.K Loges Kesavan, Mohamad Fauzi Abdul Samad dan Reenajit Kaur Golen yang mewakili semua tertuduh memohon budi bicara hakim dan jaminan dikurangkan memandangkan mereka mempunyai tanggungan sama ada ibu bapa dan anak.
Kesemua tertuduh juga bekerja sebagai pengawal keselamatan, kelindan lori dan penghantar barangan sambilan dengan pendapatan RM30 sehari hingga 2,000 sebulan.
“Seorang tertuduh iaitu Tamil Kumaran adalah pemegang OKU selepas kehilangan penglihatan mata kanan akibat kemalangan teruk pada 2012. Dia pun pakai mata palsu.
“Lagipun mereka mahu beraya dengan keluarga sempena Deepavali ini,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10, 000 bagi setiap tertuduh dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 8 Januari tahun depan.
Kosmo! pada 4 Oktober lalu melaporkan sebuah keluarga menempuh detik menakutkan apabila banglo mereka di Pandamaran dimasuki penjenayah berparang yang melarikan wang dan barangan bernilai RM600,000.
Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera akibat ditetak pada bahunya oleh suspek. – KOSMO! ONLINE