PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menikmati santapan pagi bersama rakyat dan warga kerja Seri Paduka Baginda di sebuah restoran di ibu negara, pagi tadi.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama rakyat.
“Rakyat juga teruja berpeluang bertemu secara langsung dengan Seri Paduka,” kata hantaran itu.
Usai menikmati santapan pagi, Sultan Ibrahim berkenan melakukan aktiviti berjalan kaki meninjau tahap kebersihan di sekitar kawasan ibu kota.
“Seri Paduka amat prihatin terhadap kebersihan serta kesejahteraan persekitaran awam, sejajar dengan usaha untuk memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya bersih dan teratur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE