PETALING JAYA – Berang ibu saudara menjadi mangsa penyeluk saku, pelakon Riena Diana meminta bantuan orang ramai menjejaki dua individu yang mencuri gelang serta wang tunai milik ahli keluarga terdekatnya itu.
Riena atau Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, berkata, kejadian kecurian terbabit berlaku di butik pakaian di sebuah pusat beli-belah ibu negara, kelmarin.
“Tolong saya cari pasangan penyeluk saku tak guna yang curi gelang dan duit makcik saya. Siapa yang dapat maklumat minta maklumkan pada saya.
“Selain duit ada gelang yang makcik saya sayang pemberian orang. Saya minta tolong semua kalau ada sesiapa kenal.
“Minta jasa baik semua untuk kongsi informasi ini sehingga pelaku dijumpai,” katanya menerusi perkongsian Instagram.
Dalam hantaran itu, dia turut mendedahkan wajah dua individu disyaki sebagai pencopet hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis terbabit.
Dalam video berasingan, Riena menunjukkan detik kedua-dua pelaku itu menggunakan taktik mengambil barang dari beg ibu saudaranya.
Menerusi perkongsian sama, pelakon drama Salju Rindu Di Bumi Aukland itu turut memberi peringatan kepada pelaku supaya menyerahkan barangan dicuri atau berdepan tindakan undang-undang.
Difahamkan, Riena juga sudah membuat laporan polis di balai berhampiran pusat beli-belah tersebut.
“Jika anda (pelaku) membaca kenyataan ini, sila tampil ke depan dan pulangkan barang itu. Kami akan tarik balik laporan polis.
“Muda-muda dah jadi pencuri. Saya percaya dah ramai terkena dengan manusia dua ekor ni. Polis dah ambil ‘footage’ ini, anda berdua takkan terlepas,” ujarnya.
Riena turut menzahirkan amaran supaya orang ramai berwaspada terutama dengan pasangan pencuri itu.
“Kalau saya tak dapat balik barang saya pun, sekurang-kurangnya saya berharap orang ramai berhati-hati dengan dua individu ini,” katanya.
Sehingga kini kekasih kepada pelakon Keith Foo itu belum memberikan perkembangan lanjut berkenaan kes terbabit