PETALING JAYA – “Macam mana Wanna hendak mesej Fattah kalau nombor telefon Fattah pun tiada.”
Demikian reaksi pengurus Wanna Ali yang dikenali sebagai Yaya berhubung dakwaan pelakon dan penyanyi itu saling berbalas mesej mesra dengan aktor Fattah Amin.
Jelas Yaya, pihaknya tidak tahu-menahu mengenai dakwaan kononnya tular tangkap layar perbualan Fattah dan Wanna menerusi aplikasi WhatsApp.
Malah dia juga enggan mengulas lanjut dakwaan itu selain percaya khabar angin melibatkan Wanna atau nama sebenarnya Nor Syazwana Mohd Ali, 26, dengan Fattah hanya bersifat sementara.
“Bagaimana cerita ini boleh ada sedangkan kami sendiri tidak tahu apa-apa mengenainya.
“Kami abaikan sahaja perkara ini sebab hanya heboh di Facebook. Ini bermakna khalayak pun tidak ambil pusing,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Sebelum ini tular sebuah akaun TikTok meletakkan gambar Fattah, Wanna dan aktres Nur Fazura dengan tajuk ‘Whatsapp rakan kerja perlu ada emoji ‘love’ ke? – Fazura’.
Wanna kemudian tampil menegaskan akaun TikTok itu telah menyebarkan fitnah selain mengesahkan hubungannya dengan Fazura dalam keadaan baik.
Sebelum itu, Wanna pernah dikecam tidak sensitif apabila memuat naik gambar bersama Fattah atau nama lengkapnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34 pada hari sama Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap aktor itu.
Wanna bagaimanapun menjelaskan foto bersama Fattah itu telah dijadualkan untuk dikongsikan dalam Instagram sehari sebelumnya. – KOSMO! ONLINE