PERENANG muda sensasi negara, Muhammad Dhuha Zulfikry semakin membara untuk memastikan dirinya layak beraksi pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas mempamerkan aksi cemerlang musim ini.
Dhuha yang baru berusia 16 tahun melakukan kejutan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) apabila membolot enam emas selain turut memecahkan empat rekod temasya.
Bukan itu sahaja, Dhuha turut memecahkan rekod kebangsaan berusia 35 tahun dengan catatan 14 minit 59.80 saat (s) pada Piala Dunia Renang di Shanghai sekali gus meletakkannya antara pencabar utama bagi merangkul emas di bumi Thailand hujung tahun depan.
Menurutnya, dia meletakkan impian tinggi untuk membawa pulang pingat acara kegemarannya iaitu 1,500 meter (m) gaya bebas pada Sukan SEA 2025 nanti.
“Fokus saya adalah Sukan SEA di Thailand tahun depan. Saya berharap sekurang-kurangnya dapat memenangi gangsa dalam acara 1,500m.
“Saya akui ia bukan tugas mudah tetapi saya akan lakukan yang terbaik dan bekerja keras sebelum berlepas ke Thailand,” kata Dhuha.
Kelmarin, Dhuha menerima durian runtuh sebanyak RM41,000 sebagai penerima insentif kemenangan Sukma Sarawak kontinjen Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Dhuha berkata, dia turut mengintai peluang untuk memburu tiket bagi beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan akan bekerja lebih keras meningkatkan prestasinya dari semasa ke semasa.