Penyokong merupakan antara komponen paling utama yang akan menentukan jatuh bangun suatu parti politik.
Tidak kira apa agenda yang dibawa mereka, sama ada perjuangan demi rakyat, mempertahankan perlembagaan negara atau keadilan antara warganegara, tanpa penyokong merangkap pengundi mereka, tiada satu pun parti di Malaysia mampu untuk berkuasa.
Tanpa penyokong, mustahil Barisan Nasional (BN) berpeluang memerintah negara sehingga lebih 60 tahun lamanya.
Sokongan pengundi jugalah yang membolehkan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.
Sama ada sedar atau tidak, penyokong merupakan aset yang wajib dijaga oleh kepimpinan parti.
Bagaimanapun, perlu disedari bahawa penyokong menggalas tanggungjawab yang berat. Golongan ini perlu sedar bahawa apabila tiba masanya untuk membuang undi, mereka perlu faham makna undian mereka.
Pada masa kini dapat dilihat wujudnya dua puak dalam UMNO, yang pertama anti-Anwar Ibrahim dan DAP dan satu lagi pihak yang didakwa menyokong Anwar Ibrahim serta mahu bekerjasama dengan DAP bagi membentuk suatu pakatan baharu ketika berhadapan PRU-15.
Sebagaimana Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman katakan pada satu sidang akhbar baru-baru ini, tiada apa yang mustahil dalam politik.
Bahkan, beliau secara terang-terangan menolak pendirian bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan ‘meratib’ pendiriannya iaitu anti-Anwar Ibrahim ataupun PKR dan DAP.
“Saya tidak kata kita akan bekerjasama dengan PKR atau DAP, apa yang saya kata adalah tiada apa yang mustahil dalam politik,” katanya.
Jelas dan nyata, isyarat yang diberikan itu adalah UMNO tidak menolak bekerjasama dengan sesiapa sahaja ketika ini termasuklah PKR dan DAP, asalkan bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti itu dikatakan menekan mereka.
Begitu juga dengan kelantangan pemimpin-pemimpin parti tidak kiralah parti apa sekali pun yang mendakwa, suara akar umbi harus didengari dan barisan kepimpinan perlu akur dengan kehendak mereka. Ia sekadar retorik semata-mata.
Memudahkan parti menanam agenda mereka di dalam minda penyokong adalah ketua-ketua bahagian dan cawangan, yang sentiasa tampil sebagai individu serba tahu tentang pihak lawan dan ‘kejahatan-kejahatan’ dilakukan mereka.
Secara pastinya, penyokong yang buta mata hati akan menelan bulat-bulat kata-kata pemimpin. Keengganan mereka menganalisa maklumat di sekeliling dan percaya membabi buta tutur bicara pemimpin akan menjamin undi bagi parti tertentu.
Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, seorang penyokong seharusnya berani bersuara sekiranya parti mereka berhadapan dengan ketidaktentuan hala tuju.
“Ia supaya masa depan mereka tidak tersekat disebabkan mengutamakan kepentingan pemimpin tertentu,” katanya.
Dalam konteks semasa pula, ujarnya, kesetiaan kepada parti dan fahaman ideologi politik ketika ini dilihat semakin terhakis.
Justeru, katanya, ia menguatkan lagi kenyataan bahawa tiada musuh atau lawan yang tetap (dalam politik).
“Disebabkan negara kita terikat dengan politik angka, maka perubahan daripada satu parti ke satu parti itu dengan mudah berlaku,” katanya.