fbpx

Hebatnya teknologi menterjemah emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ADHAM SHADAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

“Aku sudah kirim mesej dekat WhatsApp dia, tapi dapat satu tick sahaja. Mesti aku sudah kena block dengan dia.

“Semalam elok sahaja kami bermesej. Tiba-tiba pagi ini dapat satu tick. Dia memang tidak mahu ditemu bual lagilah tu,” kata seorang rakan yang kecewa apabila seorang individu yang ingin ditemu bual tiba-tiba mendiamkan diri.

Penulis yang ketika itu sedang menikmati secawan kopi terpinga-pinga dengan kata-katanya kerana terlalu pantas rakan penulis itu membuat kesimpulan. Di benak penulis terfikir beberapa kemungkinan.

Manalah tahu kalau telefon bimbit individu tersebut mempunyai masalah tertentu atau individu itu belum menyedari menerima mesej memandangkan masih awal pagi.

Lagak rakan penulis itu umpama peribahasa ‘tahu di angin berkisar’ apabila dia kelihatan benar-benar yakin dengan telahannya itu.

Barang kali penulis yang terlalu naif, hakikatnya ‘bahasa’ teknologi hari ini bagai menawarkan maksud tertentu yang mudah untuk ‘dibaca’ terutamanya bagi mereka yang sudah mendarah daging dengan dunia maya atau media sosial.

Kebetulan baru-baru ini juga timbul cerita cukup hangat yang dilaporkan media yang dikaitkan dengan kecekapan ‘membaca’ bahasa teknologi oleh netizen.

Tanda tanya adakah perhubungan antara selebriti popular, Neelofa dan pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz bergolak hanya tercetus apabila sesetengah netizen mendakwa ibu Neelofa dan adik-beradiknya bertindak unfollow atau tidak mengikuti lagi akaun Instagram PU Riz.

Spekulasi itu dikuatkan lagi oleh netizen apabila adik-beradik Neelofa didakwa memuat naik status berunsur sindiran kepada seseorang di Instagram Stories.

Penulis bukanlah mahu mengupas gosip hangat ini, cuma yang ingin ditekankan di sini adalah mengenai hebatnya teknologi dalam menterjemahkan tindakan atau emosi manusia hari ini.

Kalau dahulu manusia mungkin mengetahui seseorang itu sedang berbalah, berselisih faham atau sudah tidak mahu berkawan lagi dengan seseorang yang lain melalui pernyataan mulut atau bahasa tubuh, kini manusia boleh menilai menerusi teknologi.

Hanya dengan melihat pada Instagram dan Facebook, orang boleh menghidu siapa yang anda unfollow atau unfriend sekali gus menyimpulkan pertelingkahan telah tercetus antara dua insan.

Sebenarnya ada banyak lagi bahasa-bahasa teknologi lain. Antara yang popular ialah blue tick dalam WhatsApp yang menandakan kiriman mesej telah dibaca.

Justeru, orang membuat tanggapan sekiranya kiriman mesej anda yang dihantar telah bertanda blue tick tetapi penerima mesej tidak menjawab, itu petanda anda bukanlah penting baginya.

Begitu juga dengan kiriman mesej yang ditulis dengan kesemuanya huruf besar yang seakan-akan menunjukkan jeritan atau kemarahan.

Lantaran itu, ada yang menasihatkan menulis mesej dengan tulisan huruf besar kesemuanya sebagai tidak sopan.

Apapun, sebagai seorang pengguna media sosial, kita perlu sentiasa menjadi seorang pengguna yang berhemah, menjaga tutur kata dan selidikilah setiap perkara yang hendak disampaikan.

Elakkan terlalu gemar berprasangka, kerana seperti firman-Nya dalam surah Al-Hujurat ayat 12, jauhilah daripada bersangka-sangka kerana sebahagian sangkaan itu ialah dosa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI