KUANTAN – Orang ramai diminta mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca daripada pihak Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan tidak mudah terpengaruh dengan penularan analisis keadaan cuaca yang ditularkan dalam media sosial.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A.Rahman berkata, tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menularkan analisis keadaan cuaca yang tidak disahkan pihak MetMalaysia adalah tidak bertanggung jawab kerana menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Seperti mana sedia maklum dalam sehari dua ini ada individu yang dirasakan terlebih pandai menginterpretasikan dengan analisis ramalan cuaca.
“Kita tidak tahu dia ini siapa dan dari mana sebenarnya, malah individu berkenaan pernah menimbulkan perkara berkenaan beberapa tahun lepas,” katanya di sini hari ini.
Sejak kelmarin tular dalam media sosial yang meminta orang ramai khususnya di Kuantan berhati-hati pada 25 Oktober ini kerana bermula 2 petang dijangka berlaku ribut yang sangat kuat di Kuantan, Pekan dan Lepar di Pahang serta di Chukai, Terengganu.
Menurut Che Adam orang ramai perlu merujuk hanya kepada kenyataan daripada MetMalaysia berkaitan keadan cuaca semasa dan tidak menyebarkan analisis atau maklumat ramalan cuaca yang tidak sah.
Katanya, berdasarkan ramalan cuaca dikeluarkan oleh MetMalaysia hari ini, berlaku ribut tropika kuat Trami sedang aktif di Laut China Selatan dan dijangka bergerak ke Barat menghala ke Vietnam.
Keadaan ini menyebabkan peningkatan kelajuan angin di rantau negara sehingga 28 Oktober depan dan ianya berpotensi membawa hujan berterusan di barat Sabah serta pembentukan garis badai di utara dan pantai timur Semenanjung dalam tempoh tersebut. – KOSMO! ONLINE