MIRI – Polis Sarawak sedang memburu seorang lelaki yang melontarkan koktel molotov (molotov cocktail) ke pejabat cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Melayu di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hakemal Hawari yang mengesahkan kes itu, mengatakan kejadian itu berlaku sekitar pukul 3 petang.
“Laporan polis dibuat oleh ketua cawangan KWSP Miri setelah pekerjanya memberitahunya mengenai kejadian terbabit.
“Dalam kejadian ini, tiada sebarang kecederaan berlaku dan hanya ada kerosakan kebakaran di tingkat satu bahagian luar bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek yang tidak dikenali itu menunggang sebuah motosikal berwarna merah.
Hakemal mendedahkan bahawa polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan khianat. -K! ONLINE