KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor bertindak menghentikan sementara sesi jawab lisan hari ini gara-gara dua Ahli Parlimen dilihat berbual semasa sesi itu berlangsung.
Ketika itu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raj Munni Sabu sedang menjawab soalan berkenaan program MyKiosk@KPKT yang dikemukakan terhadap kementeriannya.
“Menteri sebentar. YB (Yang Berhormat) ahli majlis semua, kita dengar apa yang YB Tampin dan Timbalan Menteri berbincang. YB Tampin jika perlu sangat (berbincang) di luar (Dewan Rakyat) ya,” katanya.
Semalam, Ramli menyindir Mohd. Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) kerana menggunakan telefon bimbit ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025.
“Bini telefon ke? Kalau agak mustahak sangat, (berbual) di luar sana (luar Dewan Rakyat). Yang Berhormat Hulu Selangor, mustahak ke nak bercakap, sampai sini saya dengar,” katanya.
Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 ketika itu oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) – KOSMO! ONLINE