PETALING JAYA – Kejadian sawan yang berlaku secara tiba-tiba pastinya mengundang panik dalam kalangan ibu bapa apatah lagi jika anak itu masih kecil.
Sehubungan itu, pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan Awang, berkongsi lapan cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sekiranya keadaan itu terjadi.
Menerusi hantaran pada Thread, Dr. Ahmad Samhan berkata, ibu bapa perlu jauhkan anak mereka dari sebarang peralatan berbahaya seperti gunting, air panas dan sebagainya.
“Kedua, pusingkan badan kanak-kanak tersebut ke kedudukan mengiring (recovery position). Pastikan kanak-kanak tersebut dalam keadaan begini selagi sawan masih berlangsung.
“Ini mengelakkan kanak-kanak tersebut dari ‘tersedak’ (cairan susu atau muntah dari perut masuk ke salur pernafasan). Lapkan cairan yang keluar dari mulut,” kongsinya.
Tambah beliau, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak menghalang gerakan tangan dan kaki anak ketika diserang sawan.
“Pegang dengan lembut untuk kekalkan posisi mengiring. Jangan goncang dan elakkan dari meletakkan sudu dan sebagainya ke dalam mulut sebab boleh menyebabkan mereka tercekik.
“Perhatikan ‘pattern’ sawan dan tempoh sawan. Mohon bantuan dari orang berdekatan, selain longgarkan dan buka baju anak sehingga tinggal pampers (lampin pakai buang),” katanya.
Langkah seterusnya, Dr. Ahmad Samhan memberi tip agar diambilkan tuala dan air suam bagi mengelap ke seluruh badan sehingga kering.
“Pastikan air suam dan bukan air sejuk atau ais. Ini kerana, air yang suam akan mengembangkan salur darah pada kulit untuk lebih haba keluar ke kulit.
“Buka kipas kerana ini membantu air tersejat ke udara dengan lebih pantas dan setelah sawan berhenti, bawa kanak-kanak ke jabatan kecemasan dengan segera atau hubungi 999 untuk bantuan ambulans, jelasnya. – KOSMO! ONLINE