ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki dari perkampungan Orang Asli Seletar di Gelang Patah di sini yang dilaporkan hilang semalam ditemui mati lemas selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini.
Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba, Shamsul Khomari Bakar berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 4 petang pada kedudukan kira-kira dua kilometer daripada lokasi bot mangsa ditemui.
Ujarnya, terdahulu operasi SAR bagi mencari mangsa melibatkan seramai 23 anggota bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), polis dan penduduk kampung.
“Semalam, mangsa yang dikenali sebagai Wang Nad, 40-an, dilaporkan hilang oleh isterinya selepas tidak pulang pada lewat petang sejak keluar mencari ketam di kawasan hutan paya bakau seawal pukul 7 pagi kelmarin.
“Sehubungan itu operasi SAR terus dilaksanakan pihak berkuasa dengan melibatkan radius tiga kilometer dari lokasi bot mangsa ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, turut digerakkan untuk operasi tersebut termasuklah enam buah jentera dan Unit Pengesan K9, serta kira-kira 20 buah bot termasuk bot awam.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Tanjung Maritim Malaysia Gelang Patah sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Operasi itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 6.15 petang.-K! ONLINE