GEORGE TOWN – Khidmat jurulatih pasukan Penang FC, Akmal Rizal Rakhli masih lagi diperlukan dalam skuad itu dan dikatakan tiada istilah ‘direhatkan’ daripada tugas yang dipikulnya buat masa ini.
Semalam, kecoh di laman sosial berhubung kedudukan beliau dengan pasukan bimbingannya itu yang didakwa telah digantikan oleh Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak untuk tempoh seketika.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini sekali lagi menepis dakwaan berhubung spekulasi yang timbul sebaliknya meminta merujuk kenyataan yang dikeluarkan pihak pengurusan Penang FC Sdn. Bhd. baru-baru ini.
“Buat masa ini no (tidak). Rujuk kenyataan lalu.
“Ya (istilah direhatkan belum tepat), Ya (Akmal Rizal masih lagi dengan Penang FC),” katanya ringkas bagi menjawab persoalan berhubung khidmat Akmal Rizal yang masih lagi ditagih dalam pasukan Penang FC.
Semalam, Kosmo! melaporkan status pengemudi pasukan Penang FC itu bakal diketahui menerusi satu pengumuman yang akan diterajui barisan pengurusan tertinggi skuad itu nanti.
Keadaan ini tercetus berikutan keputusan beberapa perlawanan yang tidak memuaskan membabitkan skuad itu dalam saingan Liga Super 2024 musim ini.
Esok, Penang FC akan bertemu dengan pasukan Sabah FC, yang kini berada di kedudukan keempat Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Untuk rekod, Akmal Rizal yang merupakan bekas penyerang skuad kebangsaan dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi musim 2024-2025 pada awal Januari lalu setelah memperoleh lesen kejurulatihan, AFC Pro Diploma.
Sebelum ini, Akmal Rizal memegang peranan sebagai ketua jurulatih sementara untuk baki tiga perlawanan Liga Super pada musim lalu menggantikan Manzoor Azwira.
Sepanjang tempoh tersebut, pasukan Penang FC berjaya mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekali gus menamatkan saingan Liga Super 2023 di kedudukan ke-10.
Dalam pada itu, Merzagua yang merupakan legenda bola sepak Pulau Pinang pula dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu Penang FC juga pada tempoh sama, awal Januari lalu bagi memperkukuhkan lagi pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim ini.
Bekas pemain dan berasal dari Maghribi berusia 57 tahun itu turut dikenali dengan jolokan ‘Great Merz’ oleh penyokong tegar Harimau Kumbang. -KOSMO! ONLINE