fbpx

Dewan Rakyat: Menteri nafi petugas JPS, DBKL lewat tiba di lokasi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA kawasan di Lembah Klang ditenggelami air sehingga banyak kenderaan terkandas dan operasi pengangkutan awam terjejas. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menafikan dakwaan petugas jabatan dan agensi terlibat lewat tiba di lokasi banjir kilat di ibu negara pada 15 Oktober lalu.

Menurut beliau, pasukan petugas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di lapangan sepanjang insiden selama dua jam dan 15 minit itu berlaku.

Kata beliau, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur itu malah tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan besar.

“Laporan meteorologi menyatakan hujan bermula pukul 8.30 pagi dan berhenti sekitar 10.45 pagi. Dalam tempoh dua jam 15 minit pasukan petugas JPS dan DBKL berusaha melencongkan laluan air dan membantu dalam menyuraikan air, jadi bila dikatakan lewat sampai kurang tepat.

“‘Emergency response time’ adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan saya berterima kasih kepada semua anggota yang bertungkus lumus dalam memastikan kawalan banjir ketika itu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengapa pasukan keselamatan lewat tiba di lokasi banjir kilat di ibu negara baru-baru ini dan langkah untuk memastikan tindakan segera.

Kosmo! Online pada 15 Oktober lalu melaporkan taburan hujan yang sangat tinggi melebihi purata, 60 milimeter (mm) per jam menyebabkan berlakunya banjir kilat di sekitar ibu negara.

Rekod bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114mm per jam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air ekoran limpahan sungai-sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Kejadian itu turut menyebabkan persidangan Dewan Rakyat berlangsung setengah jam lewat kerana ramai Ahli Parlimen terkandas dalam kesesakan lalu lintas.

Zaliha seterusnya menjelaskan, kejadian banjir kilat pada 15 Oktober lalu tersebut tidak dikategorikan sebagai bencana, sebaliknya masih dikategorikan sebagai insiden.

Dalam pada itu, beliau memohon orang awam supaya memainkan peranan dengan memberi maklumat segera kepada pihak berwajib untuk mengurangkan risiko akibat banjir di ibu negara.

“Kita lihat dalam media sosial tular berkenaan anak kecil seperti meminta pertolongan. Hanya ambil gambar atau video, tetapi tidak dikemukakan kepada agensi terlibat untuk menyelamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI