HAMPIR setahun bercerai dengan suami ketiga, bintang pop sensasi Britney Spears membuat kejutan apabila mengumumkan perkahwinan terbaharunya.
Peliknya, penyanyi lagu Oops! I Did It Again itu memilih untuk berkahwin dengan diri sendiri dan menyifatkan perkara tersebut sebagai tindakan paling bijak yang pernah diambil sepanjang hidupnya.
“Hari di mana saya berkahwin dengan diri saya sendiri.
“Perkara ini kelihatan memalukan dan bodoh tetapi merupakan perkara yang hebat pernah saya lakukan,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian video itu, Britney mengenakan baju pengantin sutera rona putih lengkap menggayakan layah panjang warna senada.
Tidak menyebut sepatah pun perkataan, dia hanya beraksi di hadapan kamera dengan lagu Sting, Field of Gold sebagai latar.
Barangkali enggan mengundang kecaman, penyanyi berusia 42 tahun itu turut menutup ruangan pada bahagian komen Instagramnya itu.
Pada 2 Mei lalu Britney dan suami ketiganya, Sam Asghari disahkan bercerai hanya selepas 15 bulan berkahwin.
Sebelum bersama model berdarah Iran-Amerika itu, dia pernah mendirikan rumah tangga bersama penarinya, Kevin Federline dan rakan zaman kecil, Jason Allen Alexander.
Kedua-dua perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian dan bersama Kevin mereka dikurniakan dua anak lelaki.
Perkahwinan dengan Jason pada 2004 antara kontroversi dicetuskan Britney kerana mereka hanya bergelar suami isteri selama 55 jam.
Difahamkan sekitar Disember 2022 iaitu enam bulan selepas mengahwini Sam, Britney pernah berkongsi video mendakwa berkahwin dengan diri sendiri walaupun sudah bersuami.
Begitupun, ini bukan kali pertama dia berkongsi video pelik kerana sebelum ini pernah menari dengan menunjukkan pisau selain berkuda dalam keadaan separuh bogel. – KOSMO! ONLINE