BANGKOK – Polis Hatyai menahan seorang warga Indonesia di sebuah hotel dalam wilayah Nakhon Si Thammarat, Thailand atas tuduhan mencuri wang 1 juta baht (RM128,661) dari sebuah pikap, lapor portal berita The Nation semalam.
Selepas mangsa memfailkan aduan kepada polis Hatyai, anggota-anggota polis memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup yang membawa kepada penahanan suspek, Erwin Apri Anto, 45, di sebuah hotel di Nakhon Si Thammarat.
Suspek mengaku mencuri wang itu selepas mengekori seorang wanita yang mengeluarkan 1 juta baht dari sebuah bank di Hatyai dan menyerahkan sampul surat berisi wang itu kepada pemilik trak tersebut pada Isnin lalu.
Erwin kemudian membuka salah satu pintu trak itu selepas pemiliknya meletakkan kenderaan di luar sebuah restoran sebelum di melarikan diri ke Nakhon Si Thammarat.
Namun, ketika memandu semula pikap itu, lelaki itu menyedari pintu sebelah kiri tidak ditutup rapat.
Apabila berhenti untuk menutup pintu itu, dia mendapati sampul berisi wang itu hilang.
Polis kemudian mendapat tahu daripada seorang pekerja Myanmar di restoran itu bahawa sebuah sedan Honda berhenti kira-kira 20 meter di hadapan trak pikap itu sebelum memecut meninggalkan lokasi kejadian.
Sementara itu Erwin berkata, dia telah membelanjakan sebahagian besar wang tunai tersebut dan hanya mempunyai baki sebanyak 400,000 baht (RM51,479). – AGENSI