PETALING JAYA – Pelakon popular Fattah Amin bakal mendedahkan siapa pemilik di sebalik sebuah jenama daging perap terkenal, Pak Mat Western Jumaat ini.
Fattah dalam satu video di TikTok berkata, identiti Pak Mat bakal diketahui umum apabila dikatakan akan turut menyertainya dalam satu sesi ‘Live’ di TikTok.
“Ramai mengadu tak dapat beli masa Live Jumaat lepas, jadi saya hubungi Pak Mat untuk buat Live sekali lagi.
“Tapi, kali ini saya cakap dengan Pak Mat, mungkin kita nak buat kelainan sikit. Apa kata kita ajak Pak Mat ‘join’ sekali Live tu,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa teruja apabila akhirnya dapat melihat sendiri wajah pemilik jenama tersebut.
“Memang semua nak kenal dan nak tahu siapa pengasas Pak Mat Western ini dari mula buka sampai sekarang. Semua nak kenal dengan Pak Mat,” kata Mak.
“Dah lama nak tahu siapa sebenarnya Pak Mat, bangga tengok perniagaan dia berkembang,” kata Noura.
Terdahulu, minggu lalu Fattah telah muncul dalam sesi siaran langsung jenama daging tersebut untuk mempromosikan pek promosi mereka.
Sesi siaran langsung selama tiga jam tersebut telah meraih jumlah tontonan sebanyak 100,000 dan lebih 44 juta tanda suka – KOSMO! ONLINE