MELAKA – Kedatangan pelancong ke negara ini menunjukkan peningkatan apabila seramai 18.4 juta pelawat antarabangsa direkodkan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding 2023.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia merupakan kejayaan strategi pelancongan yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi mampan, sambil memastikan kesejahteraan masyarakat tempatan.
Katanya, Malaysia menerima 6.5 juta pelancong dari Singapura sejak Januari hingga September dengan kadar peningkatan 10.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kementerian akan terus membentuk perkongsian strategik dan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk meningkatkan promosi serta bersiap sedia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Scoot di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, King Sing meminta syarikat penerbangan Scoot supaya lebih agresif membuka laluan ke Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.
“Sebagai contoh tempat saya di Bintulu banyak pelabur dari Singapura dan saya harap mereka membuat kajian mengadakan penerbangan seminggu tiga kali,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE