KUALA LUMPUR – Polis menahan Siti Hajartul Haini Abd. Hamid di Pulau Pinang semalam selepas disyaki terbabit dalam penipuan jualan emas hingga kerugian RM48.5 juta setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima sebanyak 69 laporan terhadap Siti Hajartul yang dikaitkan dengan kegiatan penipuan pelaburan emas ‘PA Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’.
Katanya, penahanan individu tersebut dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, semalam.
“Selain itu, kita juga menahan empat lagi individu termasuk seorang wanita yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan tersebut.
“Empat individu yang berusia 29 hingga 38 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi berbeza sekitar Kedah dan Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Oktober,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas, enam unit telefon bimbit pelbagai jenama dan satu pasport Malaysia.
“Siasatan mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa.
“Pelabur yang berminat diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun syarikat
Paddy Jwellery dan Paddy Legacy,” jelasnya.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Adalah dinasihatkan kepada mana-mana individu yang mungkin telah menyertai skim pelaburan ini untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” pesannya. -KOSMO! ONLINE.