SUNGAI BULOH – Seorang lelaki warga Nepal direman empat hari selepas ditahan polis kerana cubaan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, Rawang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Mohd Nor berkata, suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Reman diperoleh selama empat hari manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
“Suspek memiliki pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) namun kita masih menunggu keputusan dari Jabatan Imigresen samada ia sah atau tidak,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris diculik seorang lelaki warga Nepal yang menyamar sebagai tukang cuci ketika berada di rumahnya di Kampung Buaya Raya Kuang, Rawang, semalam.
Tindakan lelaki asing itu terkandas apabila jirannya, wanita tempatan, 47, bergegas ke rumah itu sebaik sahaja mendengar jeritan minta pertolongan pada 12.40 tengah hari.
“Pengadu melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, dia telah mendengar jeritan jirannya meminta tolong dan menjerit ada seseorang mahu mengambil anaknya.
“Dia pergi ke rumah jirannya itu sebelum melihat suspek cuba melarikan diri. Dia bersama penduduk lain mengejar suspek sebelum berjaya menahan suspek berdekatan kawasan pembuangan sampah,” katanya.
Ketika kejadian, kanak-kanak lelaki itu berada di ruang tamu sebelum didatangi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai tukang cuci. -KOSMO! ONLINE.