LONDON – Kapten Liverpool, Virgil Van Dijk mengesahkan bahawa dia sedang dalam proses rundingan bersama kelabnya untuk melanjutkan tempoh kontrak di Anfield, meskipun terdapat spekulasi mengenai perpindahan ke kelab lain.
Van Dijk yang menyertai Liverpool dari Southampton pada Januari 2018 kini berada di penghujung kontraknya dengan spekulasi mengenai masa depannya semakin hangat apabila beberapa kelab besar berminat mendapatkan khidmat pemain pertahanan itu.
Selain Van Dijk, Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold turut berada dalam situasi kontrak yang sama dengan kedua-dua pemain bintang itu juga akan tamat kontrak pada akhir musim.
Namun, pemain berusia 33 tahun itu menegaskan bahawa fokus penuhnya kekal pada Liverpool dan mendedahkan bahawa perbincangan dengan pihak berkenaan telah dimulakan mengenai lanjutan kontraknya.
“Saya boleh katakan bahawa perbincangan sedang berlangsung, tetapi saya tidak pasti, kita akan lihat apa yang berlaku pada masa depan.
“Fokus penuh saya adalah pada Liverpool, kami ingin memenangi perlawanan yang akan datang, tiada perkara lain. Saya rasa sangat baik dari segi fizikal, mental dan saya sedang menikmati saat ini.
“Apa yang akan berlaku pada masa depan, saya tidak tahu pada ketika ini, tetapi perbincangan sedang berlangsung dengan pihak yang sesuai dan apabila tiba masanya untuk membuat keputusan atau apa-apa, saya rasa anda semua akan tahu,” katanya. – AGENSI