fbpx

‘KL perkara terbesar untuk saya, bukan hanya kesempatan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“RINDU membawa saya ke sini tetapi Malaysia terbangkan seorang Allan Anderson ke tingkat lebih tinggi.”

Ungkapan penuh makna tersebut yang dikongsikan penyanyi kelahiran Indonesia, Allan Anderson saat mula berbicara tentang pelayaran seninya.

Dalam emosi terharu, dia mengakui semuanya berubah selepas melancarkan lagu nyanyian semula atau ‘cover’ Rindu sekitar Jun lalu yang pernah dipopularkan Agnez Monica.

Bahkan, berpeluang mengadakan sebuah ‘showcase’ juga tidak pernah tersenarai dalam impiannya kerana merasakan perkara tersebut mustahil untuk berlaku.

“Sebenarnya, saya tidak mahu hanya dikenali menerusi ‘cover’ lagu Rindu dan pastinya ingin diingati dengan karya-karya ciptaan sendiri.

“Namun, siapa sangka, lagu Rindu memberi impak besar. Jadi, saya anggap ini satu permulaan yang baik terutama dalam melebarkan sayap di Malaysia,” katanya kepada HibGlam pada An Evening With Allan Andersn di Liberal Latte, baru-baru ini.

Jelas Allan, 33, tampil membuat persembahan di Kuala Lumpur diibaratkan satu penghormatan besar buat dirinya yang masih dalam usaha memahat nama di persada seni suara khusunya di Indonesia.

“Tampil di Kuala Lumpur bukan hanya sebuah kesempatan, tetapi juga antara perkara terbesar dalam karier saya.

“Mendapat kepercayaan untuk miliki ‘showcase’ sebegini adalah hal yang sangat saya syukuri.

“Ini satu permulaan yang baik dan harap karya akan terus diterima dan diraikan,” ujarnya yang pernah melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi komputer.

Bercerita lanjut, karier seninya yang dilihat indah hari ini bukanlah bermula dengan baik pada awalnya. Dia malah tidak terlepas daripada terdetik untuk ‘bersara’ awal daripada dunia nyanyian.

Adibah Noor

Mengejutkan, Allan yang juga seorang penulis lirik mendedahkan Allahyarham Adibah Noor antara penyebab dia terus aktif dalam bidang seni.

Semangat tersebut dikutip selepas membaca ciapan Adibah yang memuji persembahannya ketika menyertai program The Voice Indonesia sekitar 2016 dalam media sosial.

ALLAN Anderson mula agak bimbang memikirkan penerimaan peminat muzik di Malaysia terhadap gaya nyanyiannya.

“Saya kecewa selepas gagal dalam The Voice dan ambil keputusan untuk berhenti menyanyi sementara.

“Namun, ada selepas membaca perkongsian Adibah memuji cara nyanyian saya dalam program tersebut, semangat itu kembali kerana terinspirasi daripada kata-katanya.

“Sayangnya, kami tidak berkesempatan bertemu kerana saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana berjaya buat saya kembali mempercayai diri sendiri,” katanya lagi.

Selain menyanyi, dia turut memegang portfolio sebagai seorang penulis dan komposer.

“Kebanyakan lagu yang saya hasilkan diinspirasikan daripada kisah sendiri dan teman sekeliling termasuk momen putus cinta.

“Bagi saya, menulis daripada kisah sendiri memberi impak berbeza untuk sesebuah karya dan lebih mudah untuk ‘menjerat’ jiwa pendengarnya,” tuturnya.

Kerisauan, Glenn Fredly

Ditanya kerisauannya sebagai pendatang baharu, Allan mengakui perkara tersebut kerap membelenggu fikirannya sebelum ini.

Bukan tidak yakin dengan bakat sendiri, dia cuma bimbangkan penerimaan pencinta muzik khususnya di Malaysia untuk menerima cara nyanyiannya.

“Sebelum ini saya risau peminat muzik di sini sukar terima bakat nyanyian saya ditambah pula Malaysia memang ramai penyanyi hebat.

ALLAN memberi ‘kredit’ kepada Allahyarham Adibah Noor, satu nama besar di Malaysia yang pernah menyuntik semangat buatnya biarpun hanya dengan satu komen. – SYAKIR RADIN

“Sudah pasti akan ada yang cuba membandingkan cara nyanyian nanti. Jadi, macam-macam persoalan timbul dalam fikiran saya.

“Namun, syukur respons yang diterima sejak kebelakangan ini sangat positif, terima kasih,” jelasnya.

Dalam masa sama, Allan terbuka menerima sebarang kritikan, termasuk nyanyiannya yang dikatakan mirip mendiang Glenn Fredly.

“Dibandingkan dengan Glenn itu memang kerap berlaku tetapi saya menerimanya dengan lapang dada sebab dia penyanyi yang hebat.

“Saya juga peminat Glenn dan jika anda melihat nyanyian saya sama hebat sepertinya, itu satu penghormatan besar,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Pada showcase yang berlangsung selama dua jam, Allan mendendangkan 10 buah lagu termasuklah single terbaharunya bertajuk Ku Mau Bahagia Juga yang menemui peminat pada 5 Oktober lalu di semua platform digital.

Antara lagu lain dipersembahkan termasuklah, Rindu, Dimiliki Dia, Jalan Yang Berbeda dan Jalan Terbaiknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI