PETALING JAYA – Kerajaan dijangka akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 yang lebih ketat berikutan peningkatan mendadak kes positif sejak kebelakangan ini.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman itu akan dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Isnin.
“Kerajaan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera untuk mengawal penularan termasuk mempertimbangkan SOP yang lebih ketat dilaksanakan.
“Ia terutama yang melibatkan sektor sosial sekali gus dapat mengurangkan pergerakan dan penularan Covid-19. Satu pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri mengenai tindakan yang akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata, kerajaan mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang dengan peningkatan kes positif Covid-19.
Kata beliau, kerajaan juga memahami bebas tugas pasukan kesihatan serta kebimbangan ramai bencana banjir akan menjadi satu lagi penyebab penularan wabak itu.
Menurut beliau, pencegahan yang paling utama ketika ini adalah diri sendiri termasuk memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, menjaga jarak fizikal dan mengelak daripada bersentuhan. – K! ONLINE