fbpx

K2

Harta sepencarian dari perspektif syarak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARTA sepencarian ialah harta yang diperoleh daripada usaha suami dan isteri.

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan soalan, apakah yang dimaksudkan dengan harta sepencarian? Adakah wujud pengiktirafan pensyariatan berkenaan harta sepencarian dalam agama Islam? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke akhirat. Menurut Kamus Dewan, maksud harta sepencarian ialah harta yang diperoleh daripada usaha suami dan isteri.

Harta sepencarian juga boleh diertikan sebagai harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan. Harta ini juga boleh membawa maksud sebagai pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama antara suami isteri termasuk pendapatan yang didapati daripada modal antara suami isteri dalam tempoh perkahwinan.

Manakala dari sudut pengamalan perundangan, harta sepencarian umumnya tidak membawa jauh perbezaan pengertian dengan sebelumnya. Merujuk kepada kes Hajah Lijah binti Jamal lwn Fatimah binti Mat Diah pada tahun 1950, Hakim Briggs telah mendefinisikan harta sepencarian sebagai, ‘harta yang diperolehi dalam masa mereka berkahwin sebagai suami isteri, hasil daripada daya mereka atau melalui usaha bersama.”

Sementara itu, negeri-negeri di Malaysia menafsirkan harta sepencarian di dalam Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga bagi setiap negeri.

Sebagai contoh di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memberi tafsiran Harta Sepencarian melalui Seksyen 2, ‘harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak’.

Secara asasnya, konsep dan amalan harta sepencarian tidak wujud sedari awal zaman kedatangan Islam mahupun ketika zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin.

Sungguhpun begitu, masih terdapat beberapa penulisan ulama silam yang membincangkan tentang harta suami dan isteri sebagai Mata‘ al-Bayt (perkakas rumah) atau Mal al-Zawjayn (harta suami isteri), namun tidak diistilahkan sebagai harta sepencarian.

Hal ini juga dinyatakan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj yang menukilkan kenyataan Imam Syafi’i bahawa jika bertelingkah suami dan isteri ketika masih dalam perkahwinan atau selepas perceraian untuk memiliki harta benda seperti perkakas rumah, maka menjadi milik bagi sesiapa yang mempunyai bukti atau bersumpah sebagai pemilik barangan tersebut. Jika kedua-duanya bersumpah, maka dibahagikan sama rata antara satu sama lain.

Hal ini juga disebabkan amalan harta sepencarian ini hanya berlaku dalam kalangan penduduk Islam Nusantara yang meliputi negara-negara di sekitar Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Kemboja. Ia merupakan adat setempat yang telah diterima sebagai hukum dalam kalangan umat Islam di rantau

Nusantara.
Kesimpulannya, harta sepencarian merupakan sebahagian adat dan amalan kebiasaan bagi sebilangan masyarakat setempat.

Namun, terdapat perbezaan istilah dan amalan bagi terma harta sepencarian yang diguna pakai oleh masyarakat beradat pepatih dan temenggung.
Islam mengiktiraf adat yang diamalkan seperti harta sepencarian tersebut untuk dijadikan sebagai hukum syarak dan undang-undang selagi mana ia tidak melanggar batasan syariat. Wallahu A‘lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI