SUNGAI BULOH – “Dia (lelaki warga Nepal) masuk ke dalam rumah lalu memeluk anak saudara saya dan cuba bawa lari keluar rumah”.
Demikian perkongsian S Kalaiarasi, 30, ibu saudara kanak-kanak berusia dua tahun yang nyaris diculik warga asing yang menyamar sebagai tukang cuci dalam kejadian di rumah Kampung Bunga Raya di Rawang semalam.
“Ketika kejadian, anak saudara saya sedang bermain dengan anak lelaki saya berusia setahun di ruang tamu rumah mak.
“Saya terus menjerit apabila melihat dia (suspek) dan merampas kembali anak saudara dari dakapan dia.
“Anak saudara saya pun menangis sebab sudah takut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Meskipun berada dalam keadaan panik, Kalaiarasi tetap memberanikan diri mengekori suspek yang bertindak keluar dari rumah selepas kejadian berkenaan.
“Lelaki tersebut keluar rumah dan saya mengekori sambil menjerit meminta pertolongan. Dia berjaya ditangkap orang kampung di tempat pembuangan sampah,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian sedemikian pertama kali berlaku di kawasan perumahan mereka.
“Sebelum ini, tak pernah ada kejadian seperti ini. Semalam baru jadi macam ini (cubaan culik).
“Disebabkan kejadian ini, anak saudara dan anak saya demam,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! melapokan seorang lelaki warga Nepal ditahan polis kerana cubaan menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, semalam. -KOSMO! ONLINE.