PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan ribut tropika Trami yang dikesan berlaku 1,281 kilometer (km) ke Timur Laut Kudat memberi ancaman terhadap cuaca di Sabah dengan kehadiran hujan berterusan dan angin kencang di beberapa kawasan tumpuan.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di YouTube berkata, ribut tropika itu terjadi pada kedudukan latitud 15.7 utara dan longitud 124.4 timur, kira-kira 395 km ke Timur Laut Manila, Filipina.
Jelasnya, pencerapan yang dilakukan pada pukul 8 pagi tadi mendapati, ribut tropika berkenaan bergerak ke arah Barat Laut dengan kelajuan 20 km sejam (km/j) dan boleh mencapai maksimum 83 km/j.
Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada di Sabah melibatkan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Beluran) dan Kudat serta Labuan, sepanjang hari ini. – KOSMO! ONLINE