KUALA PILAH – Seorang pelajar sekolah menengah meninggal dunia, semalam, selepas lima hari bertarung nyawa akibat dilanggar kereta di Kilometer 29, Jalan Seremban – Kuala Pilah, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Gani berkata, nahas kira-kira pukul 3.15 petang itu menyebabkan mangsa, Ammar Zaquan Khairul Izwan, 14, mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, mangsa dipercayai dari rumah datuknya di Taman Pemarak Tanjung Ipoh dan ingin melintas jalan bersama rakan.
“Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga FL dipandu lelaki berusia 68 tahun yang ketika itu dari Melang ke Seremban.
“Apabila sampai di tempat kejadian telah terlanggar seorang pejalan kaki iaitu mangsa yang sedang melintas jalan dari bahu jalan sebelah kiri iaitu dari Taman Pemarak ke kanan jalan,” katanya kepada pemberita , di sini, hari ini.
Ujar Amran lagi, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.
“Pemandu kereta yang terlibat juga telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Pilah pada hari yang sama kejadian berlaku untuk membuat laporan polis dan membantu siasatan,” katanya.