MELAKA – Keterujaan seorang lelaki mendaki Hutan Rekreasi Bukit Beruang di sini buat pertama kali berakhir dengan peristiwa cemas selepas mendakwa sesat lebih dua jam di laluan sama dilaluinya.
Mangsa yang berumur 39 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan sepasukan bomba pada pukul 1.10 petang tadi di lokasi pos keempat bukit berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd. Talib berkata, panggilan kecemasan diterima daripada mangsa pada pukul 12.49 tengah hari dan sepasukan 11 anggota bertolak ke lokasi.
“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 18 minit sebelum menemui mangsa di pos ke empat.
“Mangsa ditemui dalam keadaan keletihan namun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa keluar ke kawasan selamat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat mangsa datang ke bukit itu seorang diri dan pertama kali mendaki hutan tersebut.
“Mangsa memberitahu dia datang seorang diri dan mula mendaki pada pukul 9 pagi sebelum sesat berpusing-pusing di laluan yang sama ketika mencari jalan keluar.
“Kebanyakan kes mencari dan menyelamat yang kita terima memang kerap berlaku di pos ke empat ini kerana treknya agak mencabar,” katanya.
Katanya, bagaimanapun, jarak dari pos tersebut untuk ke jalan keluar adalah kurang daripada satu kilometer. – K! ONLINE