PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menyiasat dakwaan kononnya ada pihak yang sedang mengintip rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kanak-kanak yang diselamatkan itu kini ditempatkan di beberapa rumah perlindungan termasuk di Negeri Sembilan dan Selangor.
“Nanti kita siasat, pasal ada rumah perlindungan di Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendakwa ada pihak yang cuba ‘mengintai’ rumah perlindungan dipercayai untuk mengetahui keberadaan kanak-kanak GISBH yang diselamatkan.
Menurutnya, semua kanak-kanak terbabit adalah selamat di bawah jagaan di rumah perlindungan berkenaan berserta kawalan keselamatan yang tinggi. – KOSMO! ONLINE