fbpx

580 kenderaan Thailand ulang-alik beli petrol, diesel di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nizam (tengah) melakukan pemeriksaan di stesen-stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Changlun.

CHANGLUN – Sebanyak 580 kenderaan Thailand dikesan mengisi petrol dan diesel secara berulang dalam sehari di stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Kedah sejak 25 September lalu sehingga kelmarin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, jumlah itu diperoleh hasil penugasan pegawai KPDN secara statik atau harian di lima stesen minyak di Kubang Pasu dan satu lagi di Baling.

Katanya, penugasan statik di enam stesen minyak yang turut mencatatkan jualan petrol dan diesel tinggi itu dilakukan bagi mengenal pasti kuota sebenar minyak diperlukan serta mengesan pengisian berulang.

“Secara keseluruhan, sebanyak 19,705 kenderaan tempatan dan 704 kenderaan berpendaftaran asing membuat pengisian minyak dalam tempoh tersebut.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 580 kenderaan membuat pengisian secara berulang melebihi sekali dalam hari sama di stesen berbeza yang dilaksanakan penugasan statik,” katanya selepas membuat pemantauan di beberapa stesen minyak di daerah Kubang Pasu, hari ini.

Kata beliau, seterusnya hasil risikan berjaya menghasilkan empat tindakan kes melibatkan sitaan 1,300 liter petrol dianggarkan bernilai RM2,865; 4,200 liter diesel dianggarkan bernilai RM12,390 serta dua unit kenderaan dan peralatan pemindahan minyak.

“Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM37,015 dan berdasarkan maklumat risikan didapati kegiatan penyelewengan kini dijalankan secara kecil-kecilan sama ada secara individu atau kumpulan kecil dengan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran tempatan.

“Modus operandi mereka adalah membuat pembelian menggunakan tong kecil dan ada beberapa kenderaan yang disyaki mempunyai tangki tambahan. Kawasan pengumpulan telah dikenal pasti di kawasan kampung yang jauh daripada perhatian awam,” ujarnya.

Jelasnya, kegiatan penyeludupan diesel dalam jumlah yang besar didapati semakin berkurangan sejak penyasaran subsidi bahan api itu dilakukan kerajaan sejak Julai lalu.

Walau bagaimanapun, kata beliau, berlaku penurunan jualan petrol dan diesel di enam stesen terlibat antara 1 hingga 20 Oktober lalu berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

“Produk diesel bagi stesen-stesen berkenaan menurun antara tujuh hingga 24 peratus manakala bagi produk petrol RON95 pula mencatatkan penurunan antara tiga hingga 30 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 1,982 pemeriksaan dilaksanakan sepanjang Ops Tiris 3.0 pada tahun ini dengan 158 kes berjaya dihasilkan melibatkan rampasan keseluruhan berjumlah RM2.95 juta.

“Seramai 34 individu atau syarikat telah dihadapkan ke mahkamah dengan sembilan daripadanya disabitkan kesalahan melibatkan denda keseluruhan berjumlah RM213,000.

“Selain itu, sebanyak 17 kertas siasatan telah menerima izin timbalan pendakwa raya untuk didaftarkan ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI