KOTA BHARU – Seekor beruang matahari jantan yang masuk ke dalam perangkap semalam selepas dipercayai menyerang seorang buruh di Kampung Dalam Senduk, Jerek dekat Gua Musang pada bulan lalu, didapati cedera pada bahagian muka, mulut dan tangan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, rawatan awal telah dilakukan terhadap haiwan tersebut sebelum ia dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai di Perak untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, beruang matahari itu berkemungkinan haiwan sama yang menyerang dan menyebabkan kematian seorang lelaki di Kampung Dalam Senduk, 8 September lalu.
“Jarak lokasi tangkapan beruang matahari itu dengan lokasi ia menyerang seorang lelaki pada bulan lalu dianggarkan kira-kira 900 meter. Tangkapan haiwan itu diharap dapat meredakan kebimbangan penduduk kampung. Apa pun, mereka tetap perlu berwaspada dan keluar ke kawasan kebun secara berkumpulan,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, seekor beruang matahari yang dipercayai ‘meragut’ nyawa seorang buruh bulan lalu akhirnya masuk ke dalam perangkap yang dipasang di Kampung Dalam Seduk di sini oleh Perhilitan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang pada 8 September lalu, kepala Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, terkoyak selain kaki, betis dan matanya luka akibat dicakar haiwan tersebut sebelum meninggal dunia selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar USM, Kubang Kerian. – KOSMO! ONLINE