PETALING JAYA – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas tewas 1-3 kepada wakil Korea Selatan, Gwangju FC sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Yongin Mireu itu, skuad Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio membariskan tiga pemain tempatan dalam kesebelasan utama terdiri daripada Feroz Baharudin, Arif Aiman Hanapi dan kapten, Natxo Insa.
Gwangju dilihat tampil garang apabila berjaya meraih gol seawal minit ke-3 hasil jaringan yang dilakukan oleh pemain import dari Albania, Jasir Asani.
Pertahanan JDT terus tergamam apabila Asani terus mempamerkan penyudah berbisa apabila menjaringkan gol kedua peribadi berselang tiga minit kemudian.
Tersentak dengan dua gol pantas tuan rumah, JDT memperkemaskan jentera serangan dan berjaya mendominasi perlawanan.
Juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Feroz menerusi sepakan penjuru pada minit ke-28.
Bersambung pada babak kedua, JDT terus berusaha untuk mengasak dalam memburu gol penyamaan dengan melakukan beberapa siri percubaan ke kubu tuan rumah.
Namun, Gwangju mengesahkan kemenangan apabila penyerang gantian, Heo Yool menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-87 dengan keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan rekod bersi Gwangju dalam pentas ACLE berterusan selepas mengutip sembilan mata manakala JDT kekal dengan empat mata selepas mengharungi empat perlawanan. – KOSMO! ONLINE