KUALA LUMPUR — Teka-teki status terjawab, penyanyi rap Bunga Isme akhirnya mengesahkan telah sah bergelar isteri kepada komposer dan penulis lirik, Amzar Sabri, tahun lalu.
Enggan berkongsi tarikh sebenar selain tidak menghebohkan penikahannya itu, Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 24, memilih untuk menyembunyikan pernikahan demi menghormati keluarga kedua belah pihak.
“Saya sudah berkahwin. Alhamdulilah kami sudah berbincang tentang hal ini, semua urusan dipermudahkan.
“Pernikahan kami sudah pun berlangsung pada tahun lalu. Saya cuma hanya boleh cakap, selepas selesai belajar, rezeki (pernikahan) itu datang lebih awal.
“Saya pun tidak menjangkakannya tetapi saya menghormati keputusan kedua-dua belah keluarga merahsiakannya,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran Warner Music Fest, di sini, hari ini.
Majlis berlangsung sederhana, pelantun lagu Intan Payung itu mengakui semuanya diraikan dalam kelompok keluarga dan rakan terdekat sahaja.
“Sebenarnya kami mahu bersederhana sahaja, lebih senang dan tenang untuk menjalani kehidupan seterusnya.
“Bagi saya kita kena dapat kata persetujuan daripada semua pihak. Jadi kami keputusan untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan.
“Majlis yang diraikan bersama keluarga dan sahabat terdekat sahaja,” kongsinya.
Ditanya mengenai perancangan cahaya mata pula, Bunga menyerahkan sepenuhnya perihal itu kepada Tuhan.
“Kami belum merancang untuk menimang cahaya mata kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya.
“Namun kami tidak menolak sekiranya dikurniakan anak lebih awal,” katanya.
Pada April lalu, status hubungan Bunga menjadi tanda tanya peminat apabila dia dilihat mengenakan pakaian sedondon dan beraya bersama vokalis kumpulan Razqa iaitu Amzar Sabri meraikan 1 Syawal.
Foto mesra dikongsi Amzar di akaun Instagram itu turut mengundang pertanyaan ramai sehingga ada yang membuat andaian mereka sudah sah bergelar suami isteri. – KOSMO! ONLINE