fbpx

Suami dapat tawaran kerja RM5,000 sehari tidak pulang-pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sofea (isteri mangsa) ketika bercakap pada sidang akhbar di Megan Avenue, Jalan Tun Razak, hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ditawarkan pekerjaan sebagai pemandu dengan bayaran sebanyak RM5,000 sehari di Bangkok, membuatkan seorang lelaki berusia 34 tahun tidak teragak-agak menerima tawaran berkenaan.

Isteri mangsa yang dikenali sebagai Sofea, 33, berkata, suaminya menerima tawaran itu berikutan jumlah tersebut agak besar, tambahan boleh digunakan untuk perbelanjaan sempena Tahun Baharu Cina akan datang.

“Kami sudah berkahwin 13 tahun. Nak (hampir) Tahun Baharu Cina, ada empat anak jadi nak dapatkan wang (lebih). Suami kerja sebagai jurujual dan syarikat ada bagi kebenaran cuti dan dia kata mahu pergi (kerja sebagai pemandu) di Bangkok empat hari sahaja.

“Dia beritahu, mahu pergi Khamis (17 Oktober lalu) dan pulang pada hari Ahad. Suami cakap kerja dia cuma bawa barang dari Thailand ke Kedah dan akan dibayar RM20,000 untuk empat hari,” katanya dalam satu sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Namun Sofea yang bekerja sebagai guru tuisyen di Johor Bahru berkata, dia menerima panggilan daripada suaminya ketika sedang bertugas, memaklumkan dia ketika itu berada di Thailand dan ditangkap sindiket.

“Dia ada hubungi saya Jumaat lalu kira-kira pukul 8.54 pagi dan minta saya sediakan wang sebanyak RM100,000 untuk dibayar kepada sindiket berkenaan.

“Tidak lama kemudian, saya terima lagi panggilan daripada dia dan saya katakan tidak dapat sediakan wang sebanyak itu,” ujarnya.

Sofea berkata, sindiket itu terus mendesak supaya membuat bayaran berkenaan, malah dapat mendengar suara suaminya kesakitan akibat dipukul.

“Pukul 9.30 pagi dia (suami) telefon lagi cakap kena bayar juga. Saya jelaskan, tak cukup masa dan dia jawab tak boleh tunggu lagi. Saya ada minta bantuan keluarga, tapi tak dapat banyak (wang).

“Kemudian suami telefon lagi dan cakap kena kerja di sana (Thailand) selama setahun. Dari panggilan WhatsApp, kami beralih ke video pula dan dapat lihat matanya cedera dipukul serta berdarah. Kerana itu saya buat laporan polis Balai Polis Taman Ungku Aminah Daerah Johor Bahru Utara, malam hari yang sama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI