ROMA – Legenda Itali dan AS Roma, Francesco Totti tidak menolak kemungkinan untuk keluar dari persaraan pada usia 48 tahun selepas mengakui dihubungi oleh beberapa pasukan yang beraksi di Serie A.
Pemain tersebut mengumumkan persaraan pada 2017 selepas membuat 786 penampilan bersama Roma yang disertai sejak zaman kanak-kanak, namun tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke padang.
Dalam satu temu bual, Totti dilapor bercakap dengan nada yang agak serius dengan kemungkinan untuk kembali dari persaraan selepas lebih tujuh tahun meninggalkan dunia bola sepak.
“Ada beberapa pasukan Serie A yang menghubungi saya. Saya mengakui bahawa perkara itu membuatkan saya terfikir. Ia keputusan yang sukar, tapi dalam hidup akan tidak boleh berkata tidak. Ada pemain yang kembali bermain untuk tempoh yang lama selepas keluar dari persaraan.
“Ia juga bergantung di mana anda bermain. Jika saya membuat keputusan untuk kembali beraksi di Serie A, itu bermakna banyak kerja yang perlu saya lakukan termasuk berlatih dengan baik.
“Berdasarkan tahap saingan di Serie A ketika ini, saya yakin mudah untuk saya memberikan impak di padang jika kembali beraksi,” katanya.
Bekas tonggak The Azzurri itu yang kini memiliki pasukan sendiri, Totti Sporting Club mengakui dia mungkin memerlukan tempoh dua atau tiga bulan untuk membuat persiapan bagi membolehkannya kembali beraksi. – AGENSI