BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick menganggap pertemuan menentang Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Olimpik Lluis Companys awal pagi esok sebagai pertembungan dua pasukan, bukannya individu.
Beliau membuat kenyataan sedemikian selepas ramai berpendapat bahawa perlawanan itu bakal menjadi penentu siapa paling layak dilabelkan sebagai penggempur terbaik Eropah, sama ada Harry Kane atau Robert Lewandowski.
Barcelona berada dalam keadaan terbaik ketika ini bagi menghadapi perlawanan tumpuan itu selepas membelasah Sevilla 5-1 pada aksi La Liga, Sabtu lalu untuk terus menerajui takhta kejuaraan.
“Adakah perlawanan itu berfokuskan kepada pertembungan antara Harry Kane dan Robert Lewandowski? Bagi saya, ia bukan perlawanan antara dua pemain, sebaliknya ia melibatkan keseluruhan pasukan.
“Kita semua akan menyaksikan perlawanan antara Bayern Munich dan Barcelona. Kami berada dalam kondisi terbaik selepas kemenangan itu tetapi kami masih perlu melakukan persiapan rapi,” katanya.
Sementara itu, beliau juga percaya pemain tengah, Frenkie de Jong masih belum pulih sepenuhnya untuk diturunkan bertemu Bayern manakala Javi Garcia semakin hampir mencapai tahap kecergasan terbaik.
“Saya fikir Frenkie de Jong tidak bersedia untuk beraksi pada perlawanan itu nanti kerana dia masih rasa kurang selesa dengan keadaan fizikalnya. Garcia mungkin ada sedikit masalah, namun saya harap dia boleh diturunkan nanti,” ujar Flick. – AGENSI