fbpx

Sabah tarik diri anjur Sukan SEA 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH percaya penganjuran Sukan SEA 2027 akan tetap berjalan seperti biasa selepas Sabah menarik diri.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan bahawa penganjuran Sukan SEA 2027 tidak akan terjejas biarpun Sabah membuat keputusan menarik diri menganjurkan temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan penganjuran Sukan SEA 2027 tetap berjalan seperti dirancang dan akan meneruskan persiapan bersama Sarawak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah bersama.

Sabah pada mulanya bersetuju untuk bersama-sama mengelolanya, namun baru-baru ini menarik diri kerana kekurangan kemudahan yang bersesuaian untuk menganjurkan temasya berprestij Asia Tenggara tersebut.

“Kami telah dimaklumkan oleh Sabah bahawa mereka tidak akan bersama untuk menganjurkan Sukan SEA 2027. Namun, kita akan teruskan perancangan dengan Sarawak, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur.

“Setakat ini tidak ada negeri lain yang menyatakan minat walaupun kita telah menghantar banyak notis kepada negeri-negeri lain.

“Bagaimanapun, kita ada tiga negeri sekarang termasuk Sarawak. Bagi saya, ia sudah cukup dan tidak akan tergendala walaupun Sabah tidak masuk, jangan risau perancangan akan berjalan.

“Selepas ini kita akan memanggil mesyuarat secepat mungkin untuk mengatur perancangan selanjutnya,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Seminar Wanita Dalam Sukan Kebangsaan di Subang Jaya semalam.

Sarawak telah berjanji untuk memperuntukkan sekitar RM350 juta, manakala Pulau Pinang akan menyumbang RM15 juta bagi penganjuran temasya tersebut.

Penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka menelan belanja sekitar RM700 juta, lebih tinggi daripada kos bernilai RM608 juta pernah dibelanjakan Malaysia ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN