fbpx

Tiga polis didakwa minta suapan RM3,000 pasangan kekasih ‘dating’ dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETIGA-TIGA tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. - foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Dua Koperal dan seorang Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada pasangan kekasih yang ditahan berdua-duaan di dalam kenderaan, tahun lalu.

Tertuduh, Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, Muhamad Adham Samsudin dan Muhammad Najib Muhamad masing-masing berusia 29, 34 dan 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah secara rasuah meminta untuk diri sendiri suatu suapan berjumlah RM3,000 supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap pasangan lelaki dan perempuan kerana berdua-duaan di dalam kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 pagi di dalam bilik rehat Balai Polis Melaka Tengah dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Oktober 2023.

Ketiga-ketiga tertuduh juga didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada pasangan sama di Pondok Polis Pelancong, Jonker Walk dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh yang sama kira-kira pukul 4.30 pagi.

Tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Abd. Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap seorang bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan dilarang menggangu saksi pendakwaan.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili ketiga-tiga tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan gaji pokok tertuduh hanyalah antara RM2,400 dan RM3,300, selain telah berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 20 November depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI