PETALING JAYA – “Hangpa (kamu) ada masalah gaji ke? Tak ada kan? Tak jadi macam KL, tak jadi macam Kedah. Hampa patut beruntung”.
Itulah luahan penyokong Penang FC apabila kecewa dengan prestasi pasukan bola sepak tersebut apabila kalah 0-1 ke atas Sri Pahang dalam Liga Super di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang kelmarin.
Video tular yang dikongsikan di Facebook, Penang kini memaparkan tindakan seorang penyokong berdiri meluahkan kekecewaan melihat corak permainan Penang FC setelah tamat perlawanan malam tersebut.
“Kalau hangpa (kamu) tak mahu hormat logo Penang FC, hangpa hormatlah bendera Pulau Pinang yang ada dekat dada hangpa tu. Bendera tu besar makna pada kami.
“Hangpa bukan tak biasa main liga, tapi tengok tadi macam tak pernah main bola. Hangpa untung hujung minggu pergi ‘cucuk’ duit, keluar tapi pemain Kedah macam mana, sembilan bulan (tiada gaji). Patut hormat majikan dah tolong banyak,” katanya.
Sementara itu, pemain Penang FC, Syamer Kutty Abba memohon maaf kepada penyokong yang hadir kerana gagal menghadiahkan kemenangan pada malam perlawanan tersebut.
Katanya, kesemua pemain Penang FC telah mencuba sehabis baik ketika menentang Sri Pahang.
“Kami cuba, tapi cuba kami tak cukup baik. Kami faham, kami beruntung, orang lain tak ada gaji, kami ada gaji.
“Anda gaji hari, kami main bola empat jam, ada duit. Saya kalau duduk tempat anda (penyokong), saya akan buat benda yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE