PETALING JAYA – Pelantikan Presiden Indonesia kelapan, Prabowo Subianto mengingatkan usahawan, Engku Emran kepada perkahwinannya dengan pelakon asal negara berkenaan iaitu Laudya Cynthia Bella.
Emran atau nama sebenarnya Engku Emran Engku Zainal Abidin, 49, berkata, mantan Presiden Indoensia, Joko Widodo pernah memperkatakan perkahwinannya dengan Laudya sebelum ini.
“Saya pernah bernikah dengan seorang warga Indonesia dan di suatu acara rasmi pada tahun 2017, Jokowi bercanda (bergurau) tentang pernikahan saya itu.
“Katanya aset Indonesia diambil orang Malaysia. Itulah kenangan saya bersama Jokowi.
“Terima kasih diucapkan kepada Joko Widodo atas jasa dan pengorbanan. Selamat istirahat, semoga panjang umur dan sentiasa di bawah lindungan-Nya,” katanya dalam Instagram.
Pada masa sama, Engku turut mengucapkan tahniah kepada Prabowo atas jawatan baharunya itu.
“Tahniah kepada seluruh rakyat Indonesia atas perlantikan Probowo Subianto sebagai Presiden Republik Indonesia yang kelapan.
“Saya dibesarkan di Jakarta sewaktu kecil sekitar tiga tahun. Indonesia ini menjadi antara negara yang dekat di hati ini.
“Semoga merah putih terus maju dan sukses di bawah pempinan Presiden Prabowo. Didoakan juga rakyat agar makmur dan bahagia selamanya,” katanya.
Laudya dan Engku berkahwin pada 8 September 2017 di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan berpisah selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata, manakala Engku Emran mempunyai seorang anak perempuan iaitu Engku Aleesya hasil perkahwinan terdahulu dengan primadona Erra Fazira.
Engku Emran kemudian mendirikan rumah tangga dengan kakak usahawan dan pengacara Neelofa iaitu Noor Nabila pada 19 Mac 2021 dan bercerai pada September 2023. – KOSMO! ONLINE