fbpx

Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasya bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Muhammad Iskandar dan pasangan, Tengku Natasya Puteri.

PETALING JAYA – Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada esok di pekarangan Istana Abdulaziz, Kuaantan.

Kesultanan Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak 16 das tembakan meriam akan dilepaskan esok, dimulakan dengan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.

Sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan kira-kira pukul 9.30 pagi, bacaan doa diteruskan bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja.

“Pada pukul 6.30 petang pula, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1.

“Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Khamis ini di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada pukul 8 malam,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat ini, manakala Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad, 27 Oktober.

“Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8 malam.

“Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan, Pahang,” katanya.

Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober di Istana Abdulaziz.

“Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pada pukul 4 petang dengan Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin.

“Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram.

“Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Sahibus Samahan Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan. Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram,” ujarnya.

Bagi mengakhiri semua istiadat, Tengku Panglima Raja akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang.

Tembakan meriam dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Pekan sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI