fbpx

Ketua Penerangan UMNO nafi rundingan dengan DAP, PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak pernah memutuskan untuk mengadakan sebarang rundingan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat ( PKR).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, Biro Politik dan MKT UMNO adalah badan yang menjadi pembentuk dasar parti itu selain Perhimpunan Agong UMNO.

Menurut beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malah di hadapan pelbagai peringkat pimpinan UMNO berkali-kali menyatakan tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP.

“MKT UMNO meneruskan kelangsungan keputusan dasar parti yang diluluskan Perhimpunan Agung UMNO 2019 iaitu tiada kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Selagi dasar itu tidak diubah, seluruh saf kepimpinan masih berpegang kepada keputusan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.

Shahril Sufian berkata, jika benar UMNO mahu menjalin kerjasama dengan DAP, parti itu mempunyai peluang sewaktu pertukaran Menteri Besar Perak baru-baru ini.

Selain itu, kata beliau, dakwaan terdapat percubaan demi percubaan oleh UMNO untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga tidak tepat.

Kata beliau, sepanjang proses undian Belanjawan 2021, Ahli Parlimen UMNO mendukung dan meluluskannya di setiap bacaan dan setiap peringkat.

Jelas beliau, undian tetap dizahirkan meskipun terdapat ketidakpuasan UMNO berhubung pelbagai isu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan dasar kerajaan.

“Maka jelas UMNO mendukung kerajaan PN demi kemaslahatan rakyat dan negara yang masih dilanda ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Mengulas dakwaan Presiden UMNO “flip flop” dalam keputusan berhubung Muafakat Nasional (MN), Shahril Sufian menegaskan pendirian barisan kepimpinan UMNO adalah konsisten.

Katanya, UMNO mahu memperkasa MN dan mengukuhkan pertalian bersama Pas tanpa UMNO menjadi ahli komponen Perikatan Nasional. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI