KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti dan usahawan, Haris Ismail menyifatkan tanggungjawab membayar bil serta perbelanjaan rumah adalah tugas semua lelaki bergelar suami.
Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 29, berkata demikian bagi menjawab tentang video tular isterinya iaitu Noor Neelofa yang mendedahkan dia tidak pernah mengeluarkan wang sendiri membayar bil serta barangan keperluan rumah.
“Secara mudahnya, itu adalah tanggungjawab semua lelaki bukan saya seorang sahaja.
“Semua lelaki yang sudah berkahwin kena jaga nafkah yang perlu kita bagi. Itu adalah wajib,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu, Kita & Co, di sini, hari ini.
Disebabkan pendedahan Neelofa, ramai netizen yang mengidolakan Haris dan berharap agar pasangan mereka juga akan memiliki sifat bertanggungjawab yang sama seperti Haris.
Namun kata bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim keempat itu, tiada apa yang perlu dibanggakan tentang sesuatu perkara yang wajib dilakukan.
“Sama seperti solat. Mungkin akan ada isteri yang berkata suaminya solat lima waktu. Bagi saya perkara itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan kerana semua umat Islam wajib solat,” ujarnya.
Terdahulu dalam video audio siar Neelofa bersama aktres Nora Danish, dia mendedahkan tidak pernah membayar segala bil air, elektrik, sewa serta barang keperluan rumah sejak berkahwin dengan Haris.
Menurut Neelofa, suaminya melarang dia membeli barang-barang keperluan rumah menggunakan duitnya sendiri kerana itu adalah tanggungjawab seorang suami. – KOSMO! ONLINE