fbpx

BAM sedia bantu pemulihan Qi Xuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QI XUAN mengalami kecederaan serius ketika beraksi pada separuh akhir Malaysia Super 100 baru-baru ini. - BAM

PEMAIN beregu wanita profesional, Ng Qi Xuan akan diberikan bantuan sewajarnya dari segi proses pemulihan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mengalami kecederaan ngeri ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya mengambil langkah sedemikian apabila mengambil kira pemain berusia 25 tahun itu tetap membawa nama Malaysia biarpun sudah tidak bersama badan induk berkenaan.

Beliau menjelaskan, Qi Xuan dialu-alukan untuk datang menjalani sesi pemulihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara selepas pihaknya mengadakan perbincangan dalaman berhubung perkara tersebut.

“Memang kita ada buat perbincangan dalaman untuk melihat bagaimana kita boleh bantu pemain tersebut. Meskipun sudah bergelar pemain profesional tetapi dia juga pernah bersama BAM sebelum ini.

“Kita memang sedia untuk membantu dan dia boleh menjalani proses pemulihan di ABM. Saya juga ada bincang YB Menteri (Hannah Yeoh) dan beliau juga ada buat tawaran untuk bantu seberapa yang boleh,” katanya.

Tambah beliau, Qi Xuan berada dalam kondisi yang baik dan masih berada di hospital selain memberitahu, pihaknya akan melawat pemain berkenaan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Qi Xuan mengalami kecederaan serius apabila lutut kanannya terkehel dan terkeluar daripada kedudukan asal selepas melakukan lompatan ketika menentang Go Pei Kee-Teoh Mei Xing di separuh akhir.

Kecederaan itu sekali gus meleburkan hasrat dia dan pasangannya, Yap Rui Chen untuk mara ke pentas final kerana sedang mendahului 20-18 di set kedua selepas memenangi set pertama 22-20.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI